Godam: 'Salahkah pelajar perempuan cemerlang?'

Bersama Salbiah Ani

2011/09/22
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menerima sebanyak 30,414 permohonan rayuan untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf (Ijazah Pertama) Sesi Akademik 2011/2012.

Daripada jumlah itu, 16,159 permohonan rayuan diterima daripada lulusan diploma atau setaraf, 12,183 lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 1,057 lulusan matrikulasi dan asasi, manakala 1,015 lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Perangkaan itu besar dan penulis sempat bincangkan dengan teman diskusi yang juga risau melihat perangkaan berkenaan kerana jika tidak ditangani secara bijaksana akan berkesudahan dengan pengabaian pelajar berpotensi untuk tampil cemerlang dalam apa juga bidang kerjaya pilihan mereka.
Alasan ini berbaur gender dan mengapa mesti pelajar perempuan dimangsakan hanya kerana kegagalan pelajar lelaki untuk tampil cemerlang sehingga pelajar perempuan pula yang mesti menjadi batu loncatan untuk kejayaan mereka.
Tiada apa yang boleh dikatakan sekiranya permohonan mereka gagal kerana tidak memenuhi syarat am kemasukan ke IPTA, tetapi ia suatu perkara yang merugikan negara jika permohonan mereka gagal ekoran memohon kursus kritikal dan popular dengan jumlah pengambilan terhad.

“Apakah wajar untuk tidak menggalakkan mereka memohon kursus sedemikian sekalipun memenuhi syarat kemasukan? Apakah adil menasihatkan mereka memohon kursus yang tiada persaingan sengit hanya bagi memastikan mereka mendapat tempat di IPTA?

“Pelajar pada era ledakan teknologi maklumat kini, jauh lebih bijak daripada sesetengah orang dewasa dalam menentukan kursus dan kerjaya pilihan mereka, apalagi yang berkelayakan sudah semestinya tidak mahu mendapat kursus ‘lelong’. Graduan, tetapi kesudahannya menganggur,” demikian soal teman seorang ini.

Bagi penulis tidak wajar untuk meminta mereka berbuat demikian memandangkan potensi permohonan mereka berjaya ada dan sesungguhnya pelajar bosan mendengar alasan tempat terhad sedangkan mereka sudah berjuang bermati-matian untuk berjaya dalam peperiksaan.
Kementerian Pengajian Tinggi sewajarnya memikirkan pendekatan yang lebih dapat diterima pelajar dan ibu bapa dewasa ini daripada terus memberi alasan tempat untuk kursus kritikal dan popular terbatas di IPTA.

Apa kata IPTA yang beroperasi dengan dana daripada pembayar cukai rakyat negara ini menambah tempat untuk pelajar berpotensi bagi kursus kritikal dan popular daripada menghabiskan duit memberi dana kepada IPTA semata-mata untuk mendapatkan penarafan peringkat dunia.

Tidakkah dengan menghasilkan lebih ramai graduan dalam bidang kritikal turut memungkinkan martabat Malaysia untuk tampil sebagai pusat pendidikan antarabangsa disegani dunia juga boleh berhasil, malahan pendekatan terbabit lebih terhormat kerana tidak memangsakan sesiapa!

Jika Kementerian Pengajian Tinggi bimbang pertambahan kemasukan pelajar ke kursus kritikal dan popular akan mengakibatkan berlakunya pengangguran mengapa tidak difikirkan guna tenaga profesional ini juga boleh dimanfaatkan untuk pasaran luar negara.

Tidak rugi melatih kelompok sedemikian dan sekiranya faktor kos yang dibelanjakan yang menjadi penghalang, maka ada wajarnya kursus sedemikian dikenakan syarat dan perjanjian, bukan saja menguntungkan kerajaan, tetapi juga pelajar.

Mereka wajar diberi biaya dan peluang, dalam masa sama jangan pula mengikat mereka untuk mendapatkan latihan amali serta berkhidmat di dalam negara semata-mata kerana mereka boleh dikenakan syarat lain sebagai membalas budi kesetiaan dan berterima kasih kepada negara.

Seperkara lagi apabila bercakap mengenai peluang kemasukan ke universiti dan kursus kritikal juga, rakyat Malaysia bosan dengan alasan pelajar perempuan terlalu ramai dan perlu diseimbangkan dengan kemasukan pelajar lelaki.

“Kalau pendekatan mengutamakan pelajar lelaki daripada perempuan kerana mereka aset penting negara, jadi apa yang akan berlaku kepada ibu bapa yang kebetulan anak mereka semuanya perempuan?

“Apakah kita mahu kembali ke zaman jahiliah yang hanya mengiktiraf anak lelaki sehingga setiap anak perempuan yang dilahirkan di muka bumi ini cuba dilenyapkan kehadiran mereka? Apakah kita mahu sejarah kebiadapan manusia yang tidak bertamadun itu berulang?” soal seorang ibu kepada penulis.

Alasan ini berbaur gender dan mengapa mesti pelajar perempuan dimangsakan hanya kerana kegagalan pelajar lelaki untuk tampil cemerlang sehingga pelajar perempuan pula yang mesti menjadi batu loncatan kejayaan mereka dan dilayan sebagai warganegara kelas kedua?

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Godam_SuratterbukakepadaKementerianPengajianTinggi/Article

No comments:

Post a Comment


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Surely silence can sometimes be the most eloquent reply.