Penembusan jalur lebar Selangor kini 71.3 peratus

Gambar hiasan
HULU SELANGOR 20 Ogos - Agihan komputer riba 1Malaysia di Selangor yang memasuki fasa kedua pada Mei lalu berjaya membantu mencapai kadar penembusan jalur lebar 71.3 peratus di negeri itu sehingga bulan ini.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Bahagian Wilayah Tengah, Hairudin Mohd. Zin berkata, kadar itu lebih cepat berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 75 peratus pada 2015.
“Sebanyak 11,198 unit komputer riba 1Malaysia diperuntukkan kepada Selangor bagi fasa kedua berbanding 4,500 pada fasa pertama dalam usaha meningkatkan penembusan jalur lebar.
“Agihan kini ditumpukan kepada pelajar yang kurang berkemampuan khususnya dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang tiada langganan jalur lebar,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan komputer itu di Kelab Golf Bukit Beruntung di sini hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baru, Wang Koon Mun.
Seramai 1,588 pelajar dari 16 sekolah menengah di kawasan Parlimen Hulu Selangor menerima komputer riba 1Malaysia pada majlis berkenaan. Sementara itu Kamalanathan berkata, proses pemilihan penerima komputer riba itu dilakukan melalui sistem yang teratur dengan proses tapisan yang rapi. - Utusan

21/08/2011
MOHD. SHAH CHE AHMAD

2 bahasa ajar Sains, Matematik

Kerajaan pertimbang pilihan sekolah guna bahasa Malaysia, BI
Gambar Hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, walaupun pada dasarnya program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kajian itu dibuat dalam konteks mengekalkan dasar MBMMBI tetapi pada masa sama, menimbang sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat menggunakan bahasa Inggeris tanpa menimbulkan masalah.

"Apa yang kita utamakan dalam dasar baru ini ialah bagaimana kita nak perkukuh bahasa Inggeris. Ramai ibu bapa berminat pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, sebab itu apabila ada saranan sebegitu, ada pihak meminta sama ada kita boleh beri kelonggaran.

"Perkara ini masih pada peringkat kajian oleh sebuah jawatankuasa kecil yang ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud," katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011, di sini semalam.

April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mendapatkan maklum balas ibu bapa sebelum memutuskan pelaksanaan PPSMI di sekolah selain mengkaji kemungkinan subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah terpilih tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, buat masa sekarang, tumpuan diberi terhadap kaedah memperkukuh pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah.
Katanya, pelajar didapati kurang kemampuan menguasai bahasa Inggeris, sekali gus memerlukan kajian lebih mendalam kerana kerajaan tidak mahu melaksanakan sesuatu dasar tetapi tidak mempunyai guru terlatih bagi menjayakannya dan akhirnya tidak mencapai apa yang diharapkan.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil pandangan menyeluruh kerana cadangan yang bagus pun tidak bermakna jika tidak ada kemampuan melaksanakannya, seperti PPSMI , yang diiktiraf bagus tetapi kebanyakan sekolah tidak ada guru yang cukup fasih bahasa Inggeris bagi mengajarnya.

Oleh Magendran Rajagopal dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my
2011/08/17

Dua beradik menang pertandingan video kreatif

MUHYIDDIN   menyampaikan hadiah kepada  Muhd Ikmal dan  adiknya, Irdina Hani   pada majlis   penyampaian hadiah pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011, di Putrajaya, semalam.
MUHYIDDIN menyampaikan hadiah kepada Muhd Ikmal dan adiknya, Irdina Hani pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011, di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA: Keunikan dan idea segar dihasilkan Muhd Ikmal, 11, dan adiknya, Irdina Hani Muhammad Rasli, 9, melalui video ‘Pertarungan Hebat Ahli Silap Mata’ memenangi tempat pertama Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 kategori Sekolah Rendah.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua 4, Kuching, Sarawak itu bukan saja meraih hadiah RM15,000 pada pertandingan dianjurkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), malah video dihasilkan mendapat undian tertinggi (1,195 undi) dan dinobatkan sebagai Video Paling Popular.

Guru Besarnya, Chai Hon Mun, berkata kemenangan adik-beradik berkenaan mengejutkan namun tidak menafikan hasil karya yang membawa kemenangan RM10,000 kepada sekolah itu, adalah berkualiti.

“Paling penting, karya itu mudah difahami oleh penonton sebaya mereka. Ini adalah permulaan baik mendedahkan murid peringkat sekolah rendah menggunakan daya kreatif dimiliki dan melakarkan dalam bentuk visual mengikut kaca mata mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron.

Selamat menjalankan ibadah puasa...

 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah 2:183)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Surely silence can sometimes be the most eloquent reply.