KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik pelan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pelan itu adalah inisiatif yang bertepatan dengan masa dan perlu dilihat dengan perspektif positif.
"Kita di NUTP menganggap ia sebagai satu cabaran yang baik, maknanya kalau kita tidak laksanakannya sekarang kita akan ketinggalan," katanya ketika dihubungi BERNAMA.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pelan berkenaan semalam yang menurutnya adalah seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Menurutnya perkara itu sedang diperhalus Kementerian Pelajaran dan pelaksanaannya kelak diharap akan menurunkan peratusan pelajar yang gagal mata pelajaran berkenaan dalam SPM.

Hashim berkata, biarpun banyak transformasi dan usaha yang dilakukan kerajaan dalam meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, namun tidak dinafikan mutu pelajar negara di dalam bahasa Inggeris masih ketinggalan.

"Jadi kita harap inisiatif ini yang akan dilaksanakan dalam masa tiga tahun lagi mampu mengubah mutu pelajar kita, kalau boleh kita mahu lebih dari sekadar lulus dan terus mendapat kepujian," katanya.
Ke arah melaksanakan pelan itu, beliau mengingatkan kerajaan supaya segala persiapan dari segi kebolehupayaan guru dan kapasiti guru disediakan dengan mencukupi.

"Kita tak nak ada pelajar yang teraniaya, terutama di kawasan pedalaman," katanya dengan memberi cadangan supaya sidang meja bulat bersama pakar di bidang pendidikan diwujudkan bagi memastikan mutu bahasa Inggeris mencerminkan mutu pelajar sendiri.

Turut bersetuju ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan yang menyifatkan pengumuman pelan itu sebagai satu langkah wajar.

Menyifatkan pengumuman tiga tahun lebih awal mengenai pelaksanaan pelan itu sebagai strategi berkesan beliau mencadangkan kerajaan turut menimbang antara lain persediaan latihan mencukupi kepada guru-guru, mengemas kini kokurikulum sedia ada dan mewujudkan insentif dan kemudahan bersesuaian.

"Mungkin juga bagi mereka (guru bahasa Inggeris) peruntukan khas, begitu juga kemudahan sekolah seperti bahan-bahan bacaan, makmal bahasa Inggeris perlu difikirkan untuk diwujudkan, bagi mewujudkan persekitaran yang sesuai," katanya.

Namun begitu, beliau berkata, peranan untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tidak hanya terletak di tangan kerajaan, pihak swasta dan ibu bapa perlu turut main peranan.

Turut mengalu-alukan pelan kerajaan itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang berkata dengan pelaksanaannya pelajar akan lebih mengambil serius mengenainya.

Beliau berkata, kebanyakan majikan kini juga melahirkan kerisauan mengenai mahasiswa yang gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

"Jadi diharapkan selepas beberapa inisiatif termasuk PPSMI, MBMMBI, dan terbaru pelan ini, mutu bahasa Inggeris pelajar akan meningkat," katanya. - BERNAMA

Cetak