Cegah ponteng melalui SMS


Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi banyak kemudahan kepada warga pendidik termasuk yang terkini sistem aplikasi mengesan kehadiran pelajar, m-Attendance yang dibangunkan oleh Mobile Biz Network Sdn. Bhd.

Pengarah Pembangunan Produknya, Hazwan Abu Hassan berkata, m-Attendance merupakan sistem aplikasi kehadiran yang pertama seumpamanya di negara ini untuk membantu mengurangkan kadar ponteng sekolah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.


"Penggunaan sistem aplikasi m-Attendance merupakan satu langkah pengintegrasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta selaras dengan tuntutan transformasi pendidikan mengikut keperluan kehidupan dan persekolahan abad ke-21," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.


Menurutnya lagi, sistem aplikasi ini berfungsi apabila guru di sekolah mengambil kedatangan setiap pelajar menggunakan komputer tablet iPad dan seterusnya ibu bapa akan menerima SMS atau e-mel yang memaklumkan status kehadiran anak mereka ke sekolah sejurus kedatangan diambil.


"Selain mengurangkan kadar ponteng sekolah, aplikasi ini juga dilihat mampu memudah serta meringankan beban guru kelas dalam mengurus data kehadiran pelajar.


Ia juga membantu memudahkan ibu bapa untuk memberi cadangan, pandangan dan aduan kepada sekolah melalui SMS selain membantu menghebahkan segala aktiviti dan program sekolah dengan lebih cepat, mudah dan kos efektif," jelasnya.


Hazwan berkata, antara faedah penggunaan aplikasi berkenaan pula ialah membantu melicinkan lagi sistem penyampaian maklumat sekolah dan meningkatkan prestasi, imej dan kredibiliti sekolah.


"Selain itu, sistem aplikasi m-Attendance turut mempunyai ciri-ciri tambahan seperti Homework Alert, Profil Pelajar, Laporan Akademik, Laporan Disiplin dan Buku Teks Digital.

Selain sistem SMS Kehadiran m-Attendance, pakej sistem aplikasi kehadiran ini turut dilengkapi dengan Sistem Aduan m-Centre dan Sistem SMS Hebahan OwnSms-Broadcast.

Dengan sistem SMS Hebahan OwnSms-Broadcast, aktiviti dan program sekolah seperti hari sukan, peringatan tarikh peperiksaan, makluman tunggakan yuran, mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan dimaklumkan terus kepada ibu bapa melalui SMS," terang beliau.


Semasa pelancarannya baru-baru ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal di Kemaman, Terengganu telah dipilih sebagai sekolah pertama di negara ini yang menggunakan aplikasi tersebut.


Sebanyak 41 buah iPad telah disumbangkan oleh syarikat Apple Malaysia untuk kegunaan guru-guru di sekolah tersebut bagi melaksanakan projek induk sistem aplikasi berkenaan.

31/11/2011
 
Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Jenayah Siber: Sejuta mangsa sehari

SEDIH, kecewa, marah, malu dan tertekan adalah antara kesan psikologi yang dialami oleh mereka yang pernah mengalami ‘peristiwa pahit’ di alam siber.

Tidak kira apa juga bentuk kes jenayah siber yang dialami, ia tetap memalitkan rasa kecewa bagi yang pernah menjadi mangsa.

Walau banyak mana kebaikan dan manfaat yang diperoleh daripada penciptaan sebuah teknologi, jika digunakan secara salah atau berlebihan pasti akan mendatangkan kemudaratan.

Tidak guna menyalahkan teknologi kerana manusia diberikan akal untuk berfikir baik dan buruk. Cuma apabila masih terkena walau telah berwaspada boleh dikatakan sebagai kurang bernasib baik.

Apabila membincangkan tentang jenayah siber pasti ramai membayangkan majoriti mangsanya adalah wanita.

Fitrah kaum wanita lemah, mudah diperdaya dan laporan pada biro komuniti tentang penipuan terhadap wanita yang sering dilapor di dada akhbar, menjadi asas kepada dakwaan tersebut.

Sangkaan tersebut ternyata meleset kerana realitinya lelaki adalah golongan yang lebih terdedah kepada jenayah di alam maya tersebut.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Norton, menerusi Laporan Jenayah Siber Norton 2011 menjelaskan antara sebabnya ialah lelaki sering melakukan aktiviti ‘berbahaya’ di Internet.
“Lebih tujuh daripada 10 lelaki pernah terjebak dalam jenayah siber. Ini kerana lelaki menghabiskan lebih banyak masa di Internet dan memperuntukkan masa yang banyak bercakap dengan individu yang tidak dikenali di Internet,” ujar Effendy Ibrahim, pengarah kendalian keselamatan Internet Asia Symantec.

Kajian tersebut dilakukan Norton di 24 buah negara dan melibatkan 20,000 responden iaitu 12,704 dewasa, 4,553 kanak-kanak dan 2,379 guru.

Effendy berkata, setiap hari terdapat sejuta mangsa jenayah siber. Jumlah itu dua kali ganda daripada jumlah kelahiran bayi ke dunia setiap hari.

“Bermakna 14 mangsa yang terlibat dengan jenayah ini setiap sesaat.

“Memang agak sukar mengelakkannya kerana kadangkala apabila seseorang cuba memuat turun satu fail memang tidak sedar ada virus yang turut dimuat turun,” ujarnya.

Persoalan yang diutarakan oleh Effendy ialah berapa ramai yang sentiasa mengemaskini perlindungan perisian mereka?

Hasil kajian mendapati 41 peratus pengguna Internet tidak memperbaharui perlindungan perisian komputer mereka.

Effendy juga mengaitkan jenayah offline dengan online yang dikatakan berkait rapat.

“Jika anda pernah menjadi mangsa jenayah offline kebarangkalian anda untuk menjadi mangsa jenayah siber adalah tinggi.

“Dalam kaji selidik kami, sebanyak 82 peratus mangsa jenayah alam nyata juga menjadi mangsa jenayah di alam maya,” jelasnya.

Masalah menjadi semakin sukar untuk dielakkan memandangkan sebahagian besar pengguna mengatakan mereka tidak boleh hidup tanpa Internet.

Daripada perspektif Cyber Security Malaysia menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt. Kolonel Datuk Husin Jazri, isu jenayah siber amat serius kerana ia semakin meningkat setiap tahun.

“Majoritinya adalah kes penipuan. Memang banyak aduan yang kami terima dan jumlahnya dari Januari hingga Ogos tahun ini sahaja adalah sebanyak 1,300 kes.

“Jumlah ini meningkat sekali ganda dari tahun lalu iaitu hanya 675 kes,” katanya yang mengakui ia satu isu yang membimbangkan.

Husin menambah, cara untuk mengurangkan kes itu adalah kerjasama dari pelbagai pihak seperti Norton.

“Bagaimanapun kami turut menyediakan perisian percuma seperti DontPhishMe memandangkan kes phishing yang diterima pada tahun ini agak tinggi,” katanya yang turut menyediakan beberapa lagi jenis perisian perlindungan yang boleh dimuat turun di enjin carian popular di Internet.

ARKIB : 12/10/2011
http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_01.htm

Amalan Selamat guna Apple Mac

SELALU dibincangkan amalan selamat dalam mengendalikan komputer berasaskan Windows dan Linux, bagaimana pula untuk komputer yang berasaskan Apple Mac?

SECARA umumnya, amalan yang selamat adalah sama sahaja iaitu pastikan data atau fail yang digunakan atau didapati daripada mana-mana punca adalah selamat dan bukannya virus atau malware.
Begitu juga ketika melayari Internet, amalkan budaya yang selamat.

Namun begitu, di sini saya bincangkan beberapa amalan selamat yang lebih spesifik untuk pengguna komputer peribadi yang berasaskan Apple Mac.

Hindari daripada amalan log in atau masuk ke dalam komputer secara automatik.

Ia boleh dikonfigurasikan pada Login Option di Account dalam System Preference. Masukan nilai Off pada Automatic Login dan tukar kepada Display Login Windows dengan Name and Password.

Pasang perisian antivirus kepada komputer Mac dan kemas kini fail enjinnya selalu.

Walaupun dikatakan komputer Mac kebal virus tetapi ia boleh menjadi pembawa virus dan seterusnya menjangkiti komputer yang lain.

Di antara perisian antivirus yang digunakan untuk komputer Mac adalah seperti CalmXav, Sophos dan lain-lain.

Amalkan budaya selamat dalam melayari Internet. Boleh menggunakan aplikasi OpenDNS dan Google Public DNS untuk mengurangkan masalah spoofing dan phising ketika melayari Internet.

Penggunaannya tidak memerlukan proses pemasangan tetapi hanya memasukkan alamat IP bagi aplikasi DNS tersebut ke dalam konfigurasi rangkaian atau pelayar web yang digunakan.

Sebagai contoh, untuk OpenDNS, masukkan alamat IP 208.67.222.222 dan 208.67.220.220 pada ruangan kosong DNS. Bagi Google Public DNS, masukkan alamat IP 8.8.8.8 and 8.8.4.4 pada ruangan kosong DNS.

Hidupkan dan konfigurasikan dengan selamat aplikasi Firewall Lion dalam komputer Mac.
Ia membantu menghalang keluar dan masuk trafik rangkaian yang tidak perlu dalam sesebuah komputer Mac.

Lebih banyak servis yang kena blok akan menyukarkan proses pencerobohan ke atas sesebuah komputer.

Penggunaan aplikasi FileVault dalam komputer Mac. Ia merupakan satu aplikasi yang digunakan untuk perlindungan data dan fail yang ada di dalam komputer Mac.

Ia juga mempunyai fungsi enkripsi untuk sesuatu data yang penting dan sensitif.

Buat kajian yang terperinci terlebih dahulu sekiranya ia perlu digunakan dan pastikan berada dalam polisi teknologi maklumat sekiranya perlu.

Penggunaan komputer yang selamat perlu bagi mengelakkan masalah yang lebih besar lagi menimpa seperti kehilangan data, reputasi diri, wang dan nyawa.

Kos penyediaan perimeter keselamatan ini lebih murah berbanding kos untuk mengembalikan data yang telah rosak atau hilang. Fikir-fikirkanlah ketika menggunakan komputer.

ARKIB 17.10.2011
http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_01.htm

Tingkatkan ICT di sekolah

Anugerah Q-Bestari iktiraf peranan ICT di sekolah
INISIATIF Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daerah Alor Gajah, Melaka menganjurkan Anugerah Q-Bestari sememangnya menepati senario dunia pendidikan pada masa kini yang memberi fokus kepada penyemaian serta pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pentadbiran pengurusan sama ada di pejabat mahupun di dalam bilik darjah.
Timbalan Pegarah Jabatan Pelajaran Melaka, Dr Mohamad Nor Mohamad Taib berkata, pembudayaan ICT di kalangan warga sekolah mampu mengeluarkan tenaga kerja yang berfikiran glokal, kritis dan kreatif.

"Penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah serta ketika proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) merupakan satu usaha murni Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membudayakan pengintegrasian dan penggunaannya secara optima di kalangan warga sekolah," katanya.

Pada program julung kali diadakan itu, sejumlah 13 kategori anugerah yang melibatkan 61 penerima dari 96 buah sekolah menengah dan rendah daerah Alor Gajah dipertandingkan.
Penganjur turut mengiktiraf usaha sekolah kurang murid (SKM) menyemai budaya ICT di kalangan warganya melalui satu anugerah khas yang dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Melaka ini melibatkan PKG Masjid Tanah, PKG Pengkalan Balak, PKG Melekek, PKG Ganun dan PKG Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Urus setia Anugerah Q-Bestari, Yusri Suib memberitahu, program itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pemimpin serta warga sekolah yang cemerlang dalam pengurusan, pentadbiran dan penggunaan aplikasi ICT yang memberangsangkan.
"Ia juga untuk menyemai dan menggalakkan budaya kerja cemerlang melalui pembudayaan teknologi ICT di kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat," jelasnya

ARKIB: 10/10/2011 http://utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Surely silence can sometimes be the most eloquent reply.