Fahami GST, elakkan salah faham

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kira-kira lima bulan sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), struktur percukaian yang lebih cekap dan telus itu perlu difahami mendalam untuk mengelakkan salah faham.
Hasil kutipan tinggi akan dapat disalurkan semula kepada rakyat dari segi peningkatan manfaat sosio ekonomi.
Tetapi pihak yang tidak bertanggungjawab membuat andaian tidak tepat bahawa GST akan membebankan dan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan serta meningkatkan kos hidup.
Sebaliknya, berdasarkan 944 barang dalam kumpulan barangan bagi GST, 56 peratus mungkin turun harga, 38 dijangka naik dan enam peratus tidak berubah.
Oleh itu, adalah salah untuk mengatakan bahawa semua barang dan perkhidmatan akan meningkat. Kerajaan juga telus dalam menyenaraikan kuantiti barangan yang akan mencatat kenaikan atau penurunan harga atau kekal tidak berubah.
Lebih 160 negara sudah melaksanakan GST, cukai tambah nilai atau cukai penggunaan, dengan ekonomi utama seperti Australia, New Zealand dan Singapura menjana peningkatan hasil ketara dan menyalurkannya semula kepada rakyat.
Tambahan pulan, kadar GST 6 peratus di Malaysia mulai 1 April 2015 adalah yang terendah di ASEAN.
GST yang menggantikan cukai jualan semasa sebanyak lima dan 10 peratus berdasarkan kepada jenis cukai barang dan perkhidmatan pada enam peratus, sudah mengambil kira kepentingan kumpulan berpendapatan rendah.
Barangan makanan asas seperti beras, tepung, roti dan susu bayi tidak dikenakan cukai, manakala pengangkutan awam seperti kereta api, bas, teksi dan pengangkutan air juga dikecualikan.
Sebagai sistem cukai yang progresif, kerajaan dijangka mengutip lebih banyak hasil menerusi GST berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berikutan kecekapan dan ketelusan dalam sistem GST.
Hasil cukai tambahan boleh disumbangkan kepada pembangunan prasarana, pengangkutan, kesihatan dan keselamatan sosial.
Diunjurkan dengan sistem GST yang tanpa cukai tersembunyi seperti dalam cukai jualan sekarang, kerajaan boleh mengutip hasil cukai tambahan sebanyak RM5.6 bilion.
GST dijangka meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak anggaran 0.3 peratus, menaikkan eksport sebanyak 0.5 peratus, ditambah dengan pengurangan birokrasi dan kos perniagaan. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Surely silence can sometimes be the most eloquent reply.