KHAMIS, 5 MAC 2015
Bagi memberikan keselesaan kepada pembayar cukai untuk
melaksanakan tanggungjawab mereka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelmarin
mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan membayar cukai pendapatan
menggunakan kad kredit dan debit Visa, Mastercard atau American Express yang
dikeluarkan institusi perbankan di negara ini. Ia adalah satu lagi tambahan
dalam kaedah pembayaran yang diperkenalkan LHDN untuk memastikan urusan
pembayaran cukai bukan sahaja lebih mudah, tetapi juga lebih pantas. Pada masa
sama kaedah pembayaran yang boleh dilaksanakan menerusi portal Bayar Hasil,
https://byrhasil.hasil.gov.my ini juga bermatlamat mewujudkan lebih banyak
masyarakat tanpa tunai yang melakukan pembayaran secara dalam talian. Sasaran LHDN adalah untuk meningkatkan
bilangan transaksi pembayaran cukai pendapatan secara dalam talian pada tahun
ini kepada 25 peratus berbanding hanya 13.1 peratus pada tahun lalu. Dari segi
memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pembayar cukai, kita amat menyambut
baik inisiatif terbaru yang dilaksanakan oleh LHDN ini. Namun, walaupun kaedah
ini adalah sesuatu yang amat memudahkan, mereka yang mahu menggunakannya perlu
bijak dan berhemat. Kita tidak mahu nanti, ada yang berjaya melunaskan
tanggungjawab mereka membayar cukai pendapatan, tetapi hutang pula bertambah
yang seterusnya mungkin menjerat mereka, bahana penggunaan kad kredit.
No comments:
Post a Comment