PENGGUNAAN e-mel oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak dalam menyampaikan maklumat kepada semua guru berjaya meningkatkan keberkesanan pengurusan.
Pegawai Pelajaran Daerah Gombak, Dayang Fatimah Abang Narudin, berkata sebelum ini pihaknya sering menerima aduan daripada guru mengatakan tidak mengetahui aktiviti anjuran PPD Gombak kerana dikatakan tidak menerima surat makluman.
Namun, menerusi sistem itu pihaknya berjaya mengurangkan aduan, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat. “Sistem ini juga membolehkan kami menjimatkan penggunaan kertas secara maksimum dan menyumbang kepada alam sekitar.
“Selain itu, aplikasi E-pekeliling yang diperkenalkan turut menyediakan capaian pantas kepada semua warga sekolah dan PPD Gombak untuk mengakses maklumat berkaitan pekeliling kerajaan yang dikeluarkan sebagai rujukan,” katanya pada majlis anugerah Inovasi PPDG di Auditorium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.